Rabu, 25 September 2013

Pablo Aimar dinobatkan sebagai pemain Johor Darul Takzim 2014

14 September 2013 – Johor Bahru – Johor Darul Takzim hari ini memperkenalkan pemain berprofil tinggi, Pablo Aimar dalam suatu majlis yang dihadiri oleh ribuan penyokong tempatan di laman keramat Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Peminat serta penyokong tegar tempatan dengan penuh sabar menanti kemunculan bekas pemain kebangsaan pasukan Argentina itu untuk diperkenalkan kepada media tempatan dan juga serantau.
Terdahulu, beliau telah menandatangani kontrak sebagai pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT), disaksikan oleh YM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Johor (JFA).
Menjawab pertanyaan bagaimanakah perasaan beliau akan bermain untuk JDT musim 2014 akan datang, Aimar menjelaskan “ Saya amat teruja berada di sini dan tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong tegar tempatan. Penyokong dan juga visi projek bolasepak Johor oleh Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor membuatkan saya mengambil keputusan untuk datang dan bermain di sini walaupun mendapat tawaran yang lebih baik dari pihak lain. Saya rasa bertuah diterima baik di sini dan berharap dapat membantu JDT memenangi trofi pada musim akan datang.”
Aimar, 32, yang mendapat gelaran ‘El Mago’ iaitu ‘ Ahli Silap Mata’ daripada peminat-peminat bolasepak dunia adalah antara salah seorang pemain tengah yang kreatif di dunia, kali terakhir bermain untuk kelab Portugis, Benfica sebelum berhijrah menandatangani kontrak 2 tahun bermula 2014 dengan Johor Darul Takzim. Dalam karier beliau yang penuh warna-warni Aimar juga pernah menyumbang khidmat untuk beberapa kelab ternama lain seperti River Plate, Valencia dan Real Zaragoza dan juga mewakili pasukan senior Argentina dengan 59 caps antarabangsa sehingga 2009 untuk pusingan kelayakan pra-Piala Dunia 2010 serta memenangi pelbagai kejuaraan lain dalam tempoh berkenaan.
Johor Darul Takzim amat berbesar hati dengan kehadiran Aimar sebagai sebahagian dari kerangka projek bolasepak Johor. Selepas membawa masuk pemain-pemain seperti Daniel Guiza, Simone del Nero, Leonel Nunez dan Andrezinho untuk pasukan, JDT meneruskan pemburuan untuk meraih trofi-trofi berprestij dalam saingan Liga Super Malaysia 2014. Mereka juga telah menandatangani perjanjian dengan Braulio Nobrega Rodriguez dan mengenalpasti pemain import ketiga dari kalangan negara Asia untuk musim depan.
Kehadiran Pablo 'El Mago” Aimar dan juga pemain-pemain terkenal dari luar negara menunjukkan bahawa projek pembangunan bolasepak Johor adalah di atas landasan yang tepat bagi memartabatkan mereka sebagai pasukan yang paling popular dan berjaya di Malaysia sebelum menembusi pentas bolasepak Asia pada masa akan datang. 


Tiada ulasan :

Catat Ulasan